Monday, April 29, 2019

Pendek Umur

Semua berjalan mengikut tadbirNya.
Kita, bulan, matahari, awan, hujan, nafas, kematian,cinta, segala….

Kalau ikutkan Ustaz Pahrol di dalam bukunya ‘Nota Hati Seorang Lelaki’, ucapan terbaik untuk sesiapa yang menyambut ulang tahun hari lahir adalah ‘selamat pendek umur’. Saya rasa saya setuju dengan beliau.

Dengan bertambahnya umur kita, makin dekat kita dengan kematian sebenarnya. Jadi betul lah, umur kita jadi semakin pendek.

Kan?

..dan 2 Mei menjelma lagi, untuk kali yang kelima dalam diari hidup saya. 

Dari saya untuk dia.. 

Yang berkongsi hampir segala sepanjang 5 tahun ni...
Yang keluar memerah keringat siang dan malam, berpenat lelah bagi menafkahi saya dan anak-anak...
Yang tinggi sabarnya mengatasi gunung Everest tiap kali melayan karenah saya yang serba serbi kurang dan ‘berkepala batu’ ni...
Yang akan berjaga malam tiap kali Ufairah sakit.. sedang dibiarkan saya lena tidur, tak sedar apa...
Yang selalu kasi tazkirah sentap kalau saya ada buat silap...gagaga...
Yang setiap bulan akan belanja saya dan anak-anak makan steak sedap kat Jahhet, jika dilebihkan rezeki...
Yang maggie air tangan dia..adalah yang tersedap di dunia... 

dan yang banyak lagi...



Selamat pendek umur Abang! 

Err... 

Moga umur yang semakin pendek yang masih berbaki itu 
terus diberkati..
& dipanjangkan amal kebaikan pada setiap sisi.. 
sampai hujung nanti. 

XOXO ❤️
Ahmad Ukasyah
Nur Ufairah
Zaujahmu










Tuesday, April 16, 2019

Awet Muda


Selalunya… sebelum saya membuat apa apa pembelian secara online terutamanya berkaitan pakaian saya, saya akan rujuk suami terlebih dahulu untuk buat pilihan terutamanya dari segi warna.

Bab warna, saya harus bagi kredit kepada suami saya kerana dia rupanya lebih mengetahui warna sekian sekian itu sesuai atau tidak untuk saya; bini dia yang lebih usia sikit dari dia.

Atau lebih tepat lagi, membuatkan saya nampak lagi muda atau tua.

“Warna orchid la...warna orang muda!”

“Jangan, warna tu tak sesuai, nanti nampak tua”

Begitulah selalu dia, kalau bab pilih warna baju untuk saya.

Jadi yang selalu lemparkan pujian bahawa saya nampak lagi muda dari usia tu… ini lah rahsianya, jeng jeng jeng. 

Eh betul, bukan nak masuk bakul angkat sendiri...tapi ramai juga la kot bagi depa yang tak kenal, atau jumpa saya buat pertama kali, bila bagitau umur saya dah nak masuk 37, mesti depa kata..

“Larr...ingatkan baru nak masuk 30!”

“Biar betul! bukan baru habis belajar ke? !”

eceh, koya!!


Friday, March 29, 2019

Columbia


Balik daripada hospital semalam, dia senyap ja. Cakap apa pun takda respon. Selalunya, dialah yang paling banyak celoteh dan tanyanya. Saya dan encik suami biarkan. Masih letih agaknya.

Sampai rumah, dia mula menangis. Tak tahu nak apa. Sangkaan kami, dia saje je buat onar, buat manja kededek, kami nak biarkan kasihan pula nanti batuknya jadi makin teruk.

Dah habis pujuk, tak nak kasi dia menangis...akhirnya terkeluar beberapa patah perkataan dari mulut dia. Perlahan tapi jelas kedengaran di telinga saya.

“Ufairah tak nak balik..”

aa sudah!

“Habis tu Ufairah nak duduk hospital lagi?”

Dia angguk...dan sambung nangis lagi.

Saya…garu kening yang tak gatal.

Ps: Encik Suami...jom kita pergi Columbia. Bukan Columbia yang kat cheras.Tapi Columbia yang kat Selatan Amerika tuuu..


Wednesday, December 26, 2018

Ayah Unta..

Alhamdulillah.

Kebiasaannya, kalau lepas keluar hospital, kami masih boleh dengar 'stridor' Ufairah. Kadang sampai dua tiga minggu juga baru dia hilang. Saya ada ketika stress juga kalau dengar bunyi dia tu. Tapi..nak tak nak memang kena hadap.

Tapi kali ni, hari ke 4 di hospital...alhamdulillah stridor tu dah semakin sedikit...dan kembali normal. Normal tu, bagi Ufairah..kalau dengar dia bernafas macam orang sumbat hidung, menurut kata suami, hehe.

Kalau pergi mana mana, orang selalu tegur,...

Eh kenapa dia bernafas macam tu?
Eh, dia ok ke tu?...

Kembali aktif..kembali dengan alam gaduh sayang dengan adik dia...dan sejak balik sini...sedikit obsess dengan puzzle, unta beserta ibu unta yang neksu bawa balik dari Mekah saritu.

Nanti kita buat misi cari ayah unta pulak ye sayang..

Eh!

Sunday, November 25, 2018

Pergi

Samsung Ace, tak silap... merupakan cap telefon pintar pertama saya. Banyak tahun juga saya dengan samsung. Jatuh bangun duduk... memang selesa sungguh dengan Samsung. Sehinggalah waktu tahun saya diijabkabul dengan suami, tahun 2014... telefon pintar pertama saya; gone. Kaput!

Alhamdulillah.... mungkin kasihan dengan isteri yang baru dinikahi. Suami menghadiahkan saya sebuah telefon pintar lain jenama Asus. Zenfone 5. Telefon baru tu, bagi saya canggih juga walaupun saya tahu mungkin ia tak sehebat iphone, oppo atau cap cap lain yang lagi canggih. Tapi disebabkan ia adalah hadiah dari suami... maka saya memandangnya sebagai sesuatu yang sangat... berharga dan ada nilai yang sangat tinggi di dalam hati. 

Seminggu dua ni... telefon cap Asus yang saya sayang tu buat hal. Masalah bateri mungkin. Selama 4 tahun lebih dia di samping saya tanpa sebarang masalah, malah jarang sangat-sangat dia 'hang' atau meragam. Ni la kali pertama....mujur cuma masalah bateri. (pada hemat saya)

Maka, suami mengajak kami ke Mines untuk proses menukar bateri baru. Berbondong-bonding la kami 4 beranak ke Mines, untuk menukar bateri telefon ibu hat ibu sayang.

Tapi hampeh.... tukar bateri baru yang dibagitau original pun, masalah masih belum hilang. Malah serupa! Mujur ada 6 bulan warranty. Nanti nak kena pergi balik....nak tanya kenapa fungsi bateri baru macam bateri lama. Kena tipu ke apa?

Beli telefon baru? hehehe... nanti lah!

Dalam perjalanan balik ke rumah, suami menerima mesej.. sahabat, kawan, akrab beliau meninggal dunia di Singapura kerana kemalangan motosikal. 

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون
Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. 


"Abang, kawan-kawan.. semua terkejut dia dah 'pergi'. Baru je dia 'update' pasal motosikal dia. Baru je dia 'update' pasal anniversary ke 5 dia, anak kedua dia baru beberapa bulan", suami memberitahu.  

"Tapi yang lagi terkejut dia dah meninggal... pastilah diri dia sendiri", sambung suami.

Saya mendengar, memandang sepi pemandangan sepanjang jalan nak pulang ke rumah. Sesekali mengerling ke arah Ukasyah yang lena di seat dia. Sambing mengenang hakikat kehidupan ni tak selamanya.... begini. Seperti hari ini. 

Ada suatu masa... ada antara kami yang akan pergi dulu.
Akan ada suatu masa itu.
Cuma Allah yang tahu. 

Wednesday, November 21, 2018

Teman Dalam Kubur

Sejak Ufairah jadi seorang yang banyak tanya dan ingin tahu, dalam segenap perkara yang berlaku depan mata dia, saya terpaksa berhati-hati dalam setiap tindak tanduk yang saya buat. Kadang-kadang ada juga yang saya terlepas pandang... 

Contohnya, kebiasaan saya membaca Al-Quran adalah selepas magrib dan subuh, jadi mungkin Ufairah perhati... 

Suatu hari, usai saya solat zohor.....dia boleh tanya saya.

"Ibu kenapa ibu baca Quran malam, kenapa siang tak baca?"

Aa sudah!

"Kena baca juga siang. Malam pun kena baca".

"Oooo, tapi siang ibu tak baca pun"

"Err...siang ibu buat kerja lain. Nanti ibu siap kerja ibu baca naa"



Al-Furqan: 74. 

Wednesday, November 14, 2018

Mencari..

Sebagai seorang full time mommy, kebiasaannya waktu maghrib tu adalah waktu benchmark di mana seluruh passion, obsession, energy keibuan, house manager, housewife... semua dah all out. Dia nak kena recharge dengan mandi, solat maghrib dan baca Quran dengan tenang. Pada saya la.

Tapi dalam dua hari ni semua tu tak berlaku. Al-Quran baru baca separuh muka, Si Ufairah dah mendesak nak berak, pada hari pertama. Hari kedua... Ukasyah. Sebab tak tidur langsung waktu petang, menjelang magrib dia buat perangai. Merengek tak tentu hala nak tidur. Tapi saya sabarkan dia dulu, sebab bilal dah memanggil untuk solat Magrib. Lepas solat, uruskan si adik yang keletihan sangat nak tidur. Selesai adik di sambut lena, kakaknya pula sambung!

Mandi? Menjelang 10 malam. Bila semua kerja sudah selesai. Bila kedua-dua putera puteri selamat disambut lena. 

Suami? Dua hari ni dia dah bagitau. Dia terpaksa jadi saksi satu kes saman tuduhan fitnah seorang ustaz. Jadi dia terpaksa berkampung di Ipoh, 2 hari 2 malam, saya terpaksa uruskan anak-anak tanpa dia di sisi. 

Allah ada..
Allah ada..

Tu je yang buat saya kuat. Ikutkan hati, rasa nak meroyan juga. Tapi...... sebab mungkin masih ada sekelumit iman agaknya. Saya sabar. 

Takpe.... kejap je. 
Takpe...all is well. 
Takpe... asalkan anak-anak di sisi, semua ok! 

Hakikatnya Allah saja yang tahu macam mana kuat saya berperang di dalam untuk tidak jadi lemah, tapi sentiasa kuat dan ceria nak bersama mereka, walaupun tanpa abi mereka di sisi. 

Berapa kali juga rasanya timbul rasa cemburu pada suami. Dapat keluar kerja. Dapat keluar pergi kuliyah, program, jumpa kawan-kawan. Dapat makan dengan tenang. 

Sekali sekala, ada juga datang rasa rindu kat saya yang dulu. 

Saya pun dah lupa, bila kali terakhir saya dapat makan.... di meja makan, dengan tenang, buat seketika tanpa ada gangguan dari mereka berdua. Hatta waktu tu, Ufairah baru saja selesai makan. Tapi jika dia nampak saya duduk di meja sambil nak mulakan makan, mesti dia datang dekat kerusi sebelah saya, dan tanya...

"Ibu makan apa tu?"...
"Ibu makan nasi ni.. nak?"..

Angguk! Saya sambung suap dia buat second round sambil telan air liur sebab tahan nak makan... hahahah

Tapi.... dalam cemburu yang seketika itu, saya tak lupa... hakikat keberuntungan diri dapat berada di sisi mereka berdua, siang dan malam.