Monday, October 1, 2018

Tok

Satu petang, saya minta tolong adik saya Mekca yang berada di kampung untuk singgah ke rumah tok sebentar. Saya mahu buat video call. Saya mahu tengok wajah tok. Lama saya tak tengok tok. Rindu.

"Sampai rumah tok dah ni, telefon lah". Pendek mesej dari Mekca.

Tangan saya laju mencari nama Mekca di Whatsapp. Gambar icon video saya tekan. Menampakkan saya yang sedang memangku Ahmad Ukasyah di dalam skrin telefon. Ahmad Ukasyah pun macam dah tahu tahu muka dia tengah dirakam untuk video call. Ralik tengok wajah sendiri di telefon. Sempat dua kali deringan, Mekca mengangkat.

Terpampang wajah tok di telefon yang dikatakan pintar cap Asus yang dihadiahkan oleh suami hampir 4 tahun lalu.

"Tok nok cakap gane ni? Tok dop panda", kedengaran suara tok di belah sana. Tok selalu macam tu kalau disuakan telefon, sama ada suruh bercakap biasa, atau bervideo.

"Tok cakap je". Arah mekca.

"Horrr besor doh hok kecik tu" agaknya tok baru perasan yang Ahmad Ukasyah sedang bergerak-gerak di skrin telefon Mekca.

"Doh wak nappe belake tu?" Tok.

----------
Tok merupakan nenek saudara belah mak. Tok lah yang jaga mak, toklah juga yang jaga kami waktu kecil-kecil dulu. Nenek kami, belah mak sudah lama meninggal, waktu mak masih kecil lagi. Belah ayah, nenek meninggal waktu saya kecil. Cuma sedikit sangat memori yang saya ingat pasal nenek belah ayah yang saya panggil tok wan.

Tok...dulu waktu saya bujang ,selalu 'sibuk' bertanya bila saya nak menikah. Selalu tok buat drama. Kadang skrip hat entah dari drama mana tok tiru.

"Kalau boleh tok nok tengok kaknor nikoh dulu sebelum tok tutup mata", sambil disusuli drama air mata tok. Waktu tu hati saya agak tough. Jadi saya gelak gelak ja tengok tok buat drama.

Biasanya tok buat drama ni, tiap kali saya jumpa tok untuk salam peluk tiap kali tiba waktu saya pulang ke kota selepas bercuti di kampung. Biasanya waktu tu la.

Waktu lain, saya bagitau tok ada orang datang nak merisik adik perempuan saya, Nadiah. Laju keluar dari mulut tok.

"Doh Kak Nor?"

Alahai tok...
-----------
Alhamdulillah, mungkin berkat doa tok salah satunya yang nak tengok sangat saya menikah, saya berjumpa jodoh walaupun agak lambat, walaupun telah dilangkah bendul oleh adik kedua, ketiga dan keempat. Well, Allah knows best kan?

Sedar tak sedar, video call ended. Air mata saya mengalir. Rindu tubuh bongkok tu barangkali. Rindu tok.

P/s: Saya anak sulung.

No comments:

Post a Comment