Saya percaya, dalam dunia ni tak ada seorang manusia normal yang suka atau mahu ke hospital. Tempat segala kesakitan, keperitan dan kelelahan dikumpul. Mereka dikumpul dan cuba untuk disembuh atau dihilangkan. Kadang ada yang berjaya, keluar dengan nikmat sihat kembali menyapa diri. Kadang, ada yang berakhir pulang menemui ilahi.
Tapi, tempat yang tiada orang mahu pergi itulah, tempat di mana hati saya dijentik dengan rasa syukur yang bertalu-talu sejak bergelar seorang ibu. Tempat yang mengajar diri saya untuk tidak mudah lemah dan patah semangat. Demi anak yang baru nak kenal dunia. Demi Ufairah; bekas penghuni rahim pertama saya.
Bila Ufairah kena warded, di situ saya mula terbuka mata dan hati... dengan keadaan yang menimpa orang lain. Kalau sebelum ni, saya rasa Ufairah la yang paling sakit, paling teruk. Rupa-rupanya, di sana... kanak-kanak yang sebaya atau lagi muda dari Ufairah ada yang lagi kronik. Ada yang lagi teruk. Ada yang dah menghuni hospital sejak berbulan-bulan lamanya.
Allah..... masa ni saya tersentak. Saya seolah baru bangun dari rasa sedih yang menyelimuti hati. Seolah dipalu dengan rasa syukur yang panjang... jika dibandingkan dengan ujian sakit yang menimpa Ufairah, sebenarnya tiada apa sangat.
Ufairah sebenarnya, sensitif dengan persekitaran yang 'sakit'. Contoh kalau ada sapa-sapa yang batuk/selsema, dan Ufairah terkena jangkitan darinya, kebiasaannya akan menyerang paru-paru, menyebabkan 'airway' Ufairah akan terkatup/ tertutup. Dah dua kali episod Ufairah dikejarkan ke hospital dalam keadaan dia hampir biru.
Doktor kata, ada saluran di dalam paru-paru dia yang sempit/ lembik. Begitulah, dan insyaAllah makin Ufairah membesar, salur itu diharap akan membesar dan tiada lagi episod 'airway' dia hampir terkatup.
Disebabkan keadaan ni jugalah saya nekad untuk berhenti kerja waktu dia berusia 9 bulan. Memang kalau ikutkan sifir mudah, kewangan keluarga kami tak mengizinkan saya untuk berhenti kerja pun waktu tu, tapi keadaan Ufairah, beratus kali ganda tak mengizinkan saya untuk kerja.
Malah, dah berapa banyak kenduri rakan taulan, saudara mara yang saya tak dapat pergi. Campur dengan hari raya, dah dua kali raya, kalau tak silap, kami tak kemana cuma terperuk di rumah saja kerana keadaan Ufairah waktu tu memang tak mengizinkan kami untuk ziarah menziarah. Orang datang beraya ke rumah (rumah mak ayah di kampung), saya sorok Ufairah dalam bilik!.. huhu. Belum dicampur dengan percutian keluarga... banyak yang kami tak dapat ikut.
Allah saja yang tahu.... gelora di hati saya..waktu tu.
Terkadang, dalam hati saya memberontak juga. Alaa, takde apa la dengan Ufairah ni. Sihat dah. Ok je. Baik je. Tapi sekali kena.... kami juga yang merana. Hati saya juga yang menangis.
Ufairah... kalau dikira dengan jari tangan tambah satu jari kaki, sudah 11 kali keluar masuk wad dari usia dia 7 bulan, sehinggalah dia berusia hampir 2 tahun. Dari Hospital Pakar Annur di Bangi, sehinggalah ke Kuala Terengganu Specialist di Terengganu. Dari Hospital Machang ke Hospital Kubang Kerian di Kelantan, dan kali terakhir (mudah-mudahan yang terakhir dalam hidup dia) dan paling lama adalah di Hospital Putrajaya, April tahun lepas.
Hospital Serdang pula seolah-olah mahu kami jadi pengunjung tetap di sana, di mana kami terpaksa melakukan rutin 'check-up' dengan Doktor Dayang, pakar respiratori kanak-kanak di sana. Bermula dengan bulanan, sekarang dah 6 bulan sekali.
Semalam, kami ke Hospital Serdang lagi. Untuk 'routine check up'. Alhamdulillah....dos ubat 'Fluticasone' yang diambil dua kali sehari dah dikurangkan kepada sekali sehari, dan in another six months, kalau tiada apa apa, InsyaAllah Ufairah dah boleh bebas dari sebarang ubat-ubatan. Mudah-mudahan. Ameen.
Cuma, semalam Doktor Dayang ada sentuh bab persedian untuk Ufairah masuk ke sekolah nanti. Satu benda yang saya tak pernah fikir pun, yang Ufairah akan ke sekolah. Bergaul dengan rakan taulan yang mungkin ada yang kurang sihat. Doktor Dayang 'suggest' untuk kami mengambil vaksin influenza, secara tahunan which is sudah dimasukkan dalam 'must-do' list kami, dalam masa terdekat. Sebagai permulaan. InsyaAllah.
Tapi apa yang saya tak pernah lupa, adalah doa saya sebagai ibu dia. Pergantungan, dan harapan kepada yang Maha Kuasa dan Menyembuh. Mudah-mudahan.... Ufairah kuat!
Walau apa pun yang jadi...takpe.
Allah ada...
...."boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu.
Dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu;
Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.
Al-Baqarah:216. Memeluk hati.
Walau apa pun yang jadi...takpe.
Allah ada...
...."boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu.
Dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu;
Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.
Al-Baqarah:216. Memeluk hati.
No comments:
Post a Comment